Umno adakan mesyuarat khas MKT malam esok

Umno adakan mesyuarat khas MKT malam esok

MESYUARAT khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan diadakan pada malam esok bagi membincangkan persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Sumber dalaman Umno memberitahu, mesyuarat khas itu adalah amalan biasa Umno setiap kali menjelang pilihan raya umum. 

Menurutnya, agenda mesyuarat MKT belum dikeluarkan, namun kemungkinan besar berkaitan langkah susulan parti itu sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini. 

“Agenda mesyuarat masih belum diketahui. Kemungkinan besar persediaan Umno hadapi PRU15,” katanya kepada Malaysiapost, malam ini. 

Bagaimanapun sumber tersebut menafikan mesyuarat MKT diadakan adalah untuk mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen segera. 

“Perkara itu tidak timbul, Umno sekarang telah bersatu hati. Perdana Menteri juga telah sepakat dan diputuskan dengan ‘Top Five’ berkenaan perkara itu.  

“Jadi tunggu sahajalah pengumuman daripada beliau. Umno tidak berpecah dan suasana parti ketika ini harmoni dan baik untuk hadapi PRU15,” katanya. 

Desa-desus Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat telah bertiup kencang semenjak seminggu yang lalu. 

Bukan sahaja Umno dan Barisan Nasional (BN), parti-parti lain ketika ini sibuk mengadakan mesyuarat dan perjumpaan khas untuk membuat persiapan menghadapi PRU15. -Malaysiapost

Komen