Wanita maut kereta dilanggar treler

Wanita maut kereta dilanggar treler

Ben Ibrahim

SEORANG wanita warga emas maut selepas kereta dinaiki dirempuh lori treler di Kilometer 12 Jalan Bentong-Raub, berhampiran simpang Lebu, dekat Bentong, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11 malam ketika kereta dinaiki warga emas berkenaan sedang membelok untuk keluar ke jalan utama.

“Kereta terbabit dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dan terdapat empat penumpang dalam kenderaan itu, termasuk warga emas yang maut.

“Berdasarkan siasatan awal, lori treler dari arah bandar Raub dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar kereta berkenaan mengakibatkan kereta itu berpusing,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Zaiham berkata, pemandu lori treler berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, semua mangsa dalam kereta itu yang berusia antara 29 hingga 57 tahun mengalami kecederaan.

“Warga emas itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu dan penumpang lain turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

Komen