Banjir: 154 mangsa di Baling dipindahkan ke PPS

Banjir: 154 mangsa di Baling dipindahkan ke PPS

SERAMAI 154 mangsa daripada 49 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Rakan Muda Batu 42 di Baling, Kedah sehingga jam 8 pagi ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata semua mangsa dinasihatkan terus berada di PPS susulan keadaan cuaca yang masih mendung dan keadaan rumah mereka yang tidak selamat selepas dinaiki air.

Beliau berkata, semua mangsa dari Kampung Carok Sikin, Paya dan Tanjung Merbau itu mula berpindah sejak petang semalam dan malam tadi.

“Mereka tidak dibenarkan pulang kerana penempatan tidak selamat dan keadaan rumah masih dipenuhi air dan sampah sarap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, Mohd Faizol berkata, pihaknya juga bimbang kerana hujan masih belum reda dan anggota APM juga dikerah memantau situasi terkini paras air Sungai Ketil.

Semalam, Sungai Padang Terap di Kampung Kubu, juga mencatatkan bacaan melebihi bahaya iaitu 13.79 meter (m) melepasi paras bahaya 13.02 meter setakat , berikutan hujan sejak awal pagi.

Selain itu, lima lagi sungai di empat daerah di Kedah merekodkan paras air melebihi waspada. – Malaysiapost

Kredit foto: FB Today Baling Official

Komen