Dalam akur Anwar selar pembubaran Parlimen pengkhianatan terhadap rakyat

Dalam akur Anwar selar pembubaran Parlimen pengkhianatan terhadap rakyat

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akur dengan keputusan Yang Di Pertuan Agong memperkenankan pembubaran Parlimen, namun mempersoal niat pihak yang didakwanya gelojoh mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini. 

Malah, Presiden PKR itu menyifatkan pembubaran Parlimen hari ini sebagai pengkhianatan kepada rakyat yang sedang dihimpit pelbagai masalah dan bencana.

Beliau juga berpendapat, pelaksanaan PRU15 ketika ini bertentangan dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini yang menasihatkan supaya agensi kerajaan dan semua rakyat bersedia berdepan risiko banjir.

“Tampaknya, Kabinet yang paling besar dalam sejarah negara ini tewas dan tunduk kepada tekanan dan kedurjanaan politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit.

“Langkah ini ternyata suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia di bawah yang kini terbeban dengan kenaikan harga barang yang tinggi, gaji yang rendah, peluang pekerjaan yang tidak cukup untuk siswazah, kualiti pendidikan, akses yang sangat rendah kepada kesihatan, simpanan yang tidak munasabah untuk usia persaraan, serta yang paling utama ancaman musibah banjir dan nampak buruk dari kemelut alam dan iklim.

“Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihan raya pada saat ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas petang tadi, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.

Anwar menyifatkan pelaksanaan PRU15 dalam tempoh terdekat sebagai ‘penipuan’ kerana pilihan raya ketika ini memberi risiko dan menyukarkan proses undian bagi sesetengah rakyat, selain menyifatkannya sebagai cubaan menghalang pengundi daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.

Justeru, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan penyokongnya perlu keluar mengundi dalam usaha membetulkan masalah yang berlaku dalam negara, antaranya kegagalan kerajaan mengemudi negara ketika pandemik Covid-19.

“Kerajaan yang sama juga bohong kepada rakyat dan negara terkait aplikasi MySejahtera dan skandal Digital Nasional Berhad (DNB). Kerajaan ini juga berdusta berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ternyata kerajaan yang sama juga menipu tentang pemerolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan juga mengenai membendung kemiskinan dan akses kepada pendidikan dan kesihatan,” katanya. -Malaysiapost

Komen