Dewan Rakyat bersidang seperti biasa esok, tiada maklumat Parlimen bubar – Azhar

Dewan Rakyat bersidang seperti biasa esok, tiada maklumat Parlimen bubar – Azhar

DI sebalik spekulasi pembubaran Parlimen yang dijangka berlaku hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan pihaknya tidak menerima apa-apa pemakluman berkaitan perkara itu.

Sehubungan itu beliau berkata, sesi Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas akan diteruskan seperti dijadualkan esok yang antara lain akan membahaskan Bajet 2023.

Mengulas lanjut, katanya, persidangan Dewan Rakyat esok, adalah hari pertama bagi pembahasan Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu.

“Ya (sidang) diteruskan, macam biasa, kecuali saya dimaklumkan apa-apa, setakat ini tiada sebarang pemakluman, saya tidak tahu benda ini (pembubaran Parlimen) kerana ia adalah kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Esok akan berlangsung waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan dan diteruskan dengan pembahasan Bajet 2023,” katanya memetik Berita Harian.

Berdasarkan takwim Parlimen, sesi Dewan Rakyat yang bermula 3 Oktober lalu dijadual berlangsung hingga 29 November ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara yang dipercayai berkaitan dengan mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.

Kunjungan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak diketahui media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke London, malam tadi bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom yang bermula hari ini hingga 16 Oktober.

Turut kelihatan mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di lapangan terbang ialah Azhar Azizan yang mana kehadiran beliau dikaitkan dengan desas-desus pembubaran Parlimen hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Azhar berkata, tiada perbincangan langsung mengenai pembubaran Parlimen dilakukan ketika berada di lapangan terbang.

Beliau berkata, malah beliau hanya merafak sembah selamat berangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada perbincangan langsung, tidak sampai seminit pun, saya merafak sembah selamat sebelum baginda berangkat, itu sahaja.

“Saya memang akan mengiringi Yang di-Pertuan Agong ke lapangan terbang jika baginda berangkat ke luar negara kecuali jika saya berada di dewan,” katanya. – Malaysiapost

Komen