Hospital Maran dibina tahun depan

Hospital Maran dibina tahun depan

Ben Ibrahim

PROJEK pembinaan Hospital Maran di Pahang yang diluluskan sejak 2018 akan dimulakan tahun depan.

Hospital dianggarkan bernilai RM350 juta itu juga bakal menjadi pusat sehenti bagi kajian penyakit berjangkit pertama di Pantai Timur.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, proses tender akan dibuka awal tahun depan selepas Bajet dibentangkan Jumaat lalu diluluskan.

“Kerja tanah di kawasan ini sudah dimulakan namun proses tender hanya boleh dibuat apabila bajet diluluskan.

“Projek ini membabitkan kawasan seluas kira-kira 20 hektar dan apabila siap kelak, hospital Maran dapat memberi manfaat kepada lebih 140,000 penduduk di daerah ini,” katanya.

Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di tapak Hospital Maran di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul – Maran, dekat Maran, hari ini.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, pembinaan hospital itu juga dapat memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar jika berlaku kecemasan.

Katanya, ini kerana jarak hospital terdekat berada di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh sejauh 48 kilometer (km).

“Satu lagi hospital di bandar pusat Jengka terletak 55 km dari Maran dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pula jaraknya lebih 70 km.

“Jadi, pembinaan hospital di Maran adalah satu keperluan dan perlu diberi keutamaan, selagi saya dipilih sebagai ahli Parlimen Maran, saya akan pastikan projek ini menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kelewatan proses pembinaan walaupun projek diluluskan kira-kira empat tahun lalu, Ismail berkata, ia berpunca daripada perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, bukan saja projek hospital itu yang berdepan masalah, tapi ada beberapa projek lain ditangguhkan selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan Pusat.

“Keadaan (kerajaan) yang tidak stabil dan kukuh memang banyak memberi kesan kepada peruntukan dan projek diluluskan sebelum PRU14.

“Sebab itulah kita perlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil bagi memastikan semua perancangan untuk kepentingan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. – Malaysiapost

Komen