Kerajaan negeri disyor bubar DUN untuk jimat kos – PM

Kerajaan negeri disyor bubar DUN untuk jimat kos – PM

KETUA-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor disyorkan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak dengan pembubaran Parlimen bagi kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah tersebut bagi memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) didakan pada tarikh yang sama meskipun beberapa negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN.

“Saya mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan DUN masing- masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Peringkat Parlimen,

“… meskipun beberapa negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung jam 3 petang tadi.

Ismail Sabri berkata, penetapan tarikh hari penamaan calon, hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini untuk memberi laluan kepada PRU15.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki berhubung tarikh sebenar pembubaran Parlimen yang bertiup kencang sejak lebih seminggu lalu.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu selepas menghadap dan mendapat diperkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pertemuan menghadap Baginda, semalam. – Malaysiapost

Komen