KJ intai kerusi Parlimen Lembah Klang, Negeri Sembilan

KJ intai kerusi Parlimen Lembah Klang, Negeri Sembilan

KHAIRY Jamaluddin secara terbuka mengakui bersedia menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di Lembah Klang atau Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ramai pemimpin tempatan yang menawarkan kerusi Parlimen kepadanya, namun semua itu diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Umno untuk menentukan kedudukannya.

“Saya orang parti, macam-macam pemimpin tempatan tawarkan kerusi kepada saya. Saya terbuka untuk bertanding di mana-mana sama ada di Negeri Sembilan atau Lembah Klang.

“Setakat ini kedudukan saya (untuk) bertanding di kerusi mana masih belum diputuskan,” katanya.

Pada PRU14, Khairy memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR dengan memperoleh 36,096 undi.

Bagaimanapun, pada PRU15 ini Khairy terpaksa beralah kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan menjadi calon BN di Parlimen Rembau.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau bertanding dan menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di bawah Parlimen Rembau. -Malaysiapost

Komen