Pembubaran Parlimen noktahkan dakwaan ‘kerajaan tebuk atap’ – PM

Pembubaran Parlimen noktahkan dakwaan ‘kerajaan tebuk atap’ – PM

PENGUMUMAN pembubaran Parlimen yang berkuatkuasa hari ini membuktikan mandat akan dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang teguh dah stabil dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PRU15 berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung jam 3 petang tadi.

Ismail Sabri berkata, semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, yang telah dibentangkan Jumaat lalu.

Katanya, ia sekali gus dapat mengekalkan kestabilan politik; memulih dan mengukuh ekonomi; mengekalkan keharmonian serta perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

“Akhir kalam, dengan penuh keinsafan, pengharapan dan tawakal, saya mendoakan semoga seluruh Keluarga Malaysia dan negara sentiasa dipayungi rahmat, dilimpahi berkat

“Semoga disuburkan hati kita untuk terus mendokong agenda besar pencapaian kemakmuran serta kemajuan Malaysia yang tercinta,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini untuk memberi laluan kepada PRU15.

Beliau membuat pengumuman itu selepas menghadap dan mendapat diperkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pertemuan menghadap Baginda, semalam.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki berhubung tarikh sebenar pembubaran Parlimen yang bertiup kencang sejak lebih seminggu lalu. – Malaysiapost

Komen