Umno pulang kuasa kepada rakyat demi masa depan negara – Zahid

Umno pulang kuasa kepada rakyat demi masa depan negara – Zahid

MESKIPUN mengetuai kerajaan, namun Umno tidak gusar mengembalikan kuasa itu kepada mandat rakyat demi masa hadapan yang lebih baik untuk negara.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno sekali lagi menunjukkan ia sebuah parti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara yang memerlukan sebuah kerajaan yang lebih stabil.

“Hari ini Umno dan pimpinannya sekali lagi berjiwa besar menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.

“Umno meminta Parlimen dibubarkan ketika di puncak kuasa kerajaan campuran adalah demi kemaslahatan dan masa depan rakyat serta negara.

“Insyallah ini langkah yang tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia,” katanya di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, walaupun Umno pernah disalah erti angkara fitnah dan tipu daya beberapa tahun lalu, namun perkara itu tidak sesekali membuatkan parti itu berpaling daripada perjuangan untuk rakyat dan negara.

“Syukur Alhamdulillah mandat akhirnya dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan mutlak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Dalam keadaan diburuk sangka, ditekan dan diasak dari segenap arah, Umno tetap istiqamah berpegang kepada kebenaran dan tanggungjawabnya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberikan laluan kepada PRU15.

“Apakah Umno perlu ‘down’ ketika itu? Umno tidak ‘down’. Perlukah Umno akur akan ugutan dan berundur? Haruskah gentar pada ancaman?

“Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang maha tinggi lagi maha agung,” katanya. – Malaysiapost

Komen