Umno senada titah Agong ketidak tentuan politik tidak boleh dibiarkan

Umno senada titah Agong ketidak tentuan politik tidak boleh dibiarkan

UMNO menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong atas perkenan membubarkan Parlimen. 

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ianya selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Umno menghormati titah Tuanku bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik yang tidak menentu bahkan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.

“Umno berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara. 

“Malah mengisytiharkan Umno dan BN sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada Umno yang menerajui kerajaan,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, malam ini. 

Terdahulu, Umno mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) susulan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen yang berkuatkuasa hari ini.

Mesyuarat khas MKT itu dipengerusikan Presiden Datuk SeriAhmad Zahid Hamidi turut membincangkan beberapa isu berkaitan dengan gerak kerja dan persiapan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 setelah Parlimen dengan rasminya dibubarkan. -Malaysiapost

Komen