‘Umno tolak Bersatu bukan penyatuan ummah’ – Khaled Nordin

‘Umno tolak Bersatu bukan penyatuan ummah’ – Khaled Nordin

UMNO menegaskan penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politk demi pilihan raya, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden Umno itu, berkata penyatuan ummah telah dan akan Umno usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim.

“Umno tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah. Yang Umno tolak ialah penyelamatan Bersatu.

“Bagi Umno, formula PAS untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu. Bersatu adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui Umno,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Mohamed Khaled lagi, kekuatan Bersatu adalah ‘superficial’ dan ia tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, sebaliknya dibina melalui sindiket pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik negara.

“Kerana itu, Bersatu tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu. DNA nya ialah anti Umno dan karakternya adalah khianat,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Umno adalah gerakan politik yang tugasnya mengurus dan mentadbir negara, selain bukan sebuah gerakan dakwah.

Katanya, segala perhitungan Umno adalah pada kelangsungan politik parti itu dan kepentingan Melayu.

“Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam Kerajaan akan datang.

“Fokus Umno ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya agar ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan,” katanya.

Justeru, Mohamed Khaled merumuskan bahawa perjuangan Umno itu tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bersatu.

“(Ini) kerana telah menjadi cita-cita Bersatu untuk Umno itu diakhiri, ditolak dan dimatikan,” katanya.

Terdahulu, Umno memuktamadkan pendiriannya untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PAS memutuskan untuk terus bekerjasama dengan Bersatu. – Malaysiapost

Komen