Usaha Bersatu ganti Umno lepas PRU14 gagal – Zahid

Usaha Bersatu ganti Umno lepas PRU14 gagal – Zahid

TINDAKAN Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff keluar dari Bersatu merupakan satu tamparan besar kepada parti itu, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tentu Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MKT) dan pengasas bersama Bersatu itu mempunyai faktor yang besar menyebabkannya bertindak keluar daripada parti, ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir.

“Salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada Bersatu sendiri yang dilihat bakal tewas dan tak boleh diselamatkan lagi.

“.. akibat tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang kuasa, jentera yang lemah, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan, dan tidak ada agenda perjuangan yang jelas.

“Sudah pasti, Bersatu hanya menguntungkan segelintir pemimpin parti dari segi jawatan kabinet sedangkan ahlinya yang sedikit terus terbiar,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Rais Hussin mengumumkan keluar parti Bersatu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada pimpinan Bersatu, pada 6 Oktober.

Katanya, beliau tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, percubaan Bersatu sejak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan Umno selepas PRU14 menemui kegagalan.

Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, jika dibandingkan dengan ahli Umno sejati walaupun tewas PRU14, cuba diaibkan dengan perbicaraan terpilih, dan diugut Umno dibubarkan namun tetap tidak goyang mempertahankan Umno.

“Berbalik kepada tindakan keluar parti oleh pengasas bersama Bersatu ini, tahniah diucapkan kerana pandai membezakan parti mana yang relevan dan bakal menang menjelang pilihan raya umum.

“Cuma untuk ahli-ahli Bersatu yang bukan berstatus pengasas bersama Bersatu dan ahli strategis, ingin saya tanyakan, anda ahli-ahli biasa di peringkat cawangan bila lagi keluar dari parti Bersatu?

“Jangan pula lari malam beramai-ramai selepas tewas pilihan raya umum. Sudah terlewat ketika itu!,” katanya. – Malaysiapost

Komen