Wan Saiful dakwa Ismail Sabri ‘diperkudakan’ Umno pada PRU15

Wan Saiful dakwa Ismail Sabri ‘diperkudakan’ Umno pada PRU15

KETUA Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan bimbang nasib Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diperkudakan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, perkara itu pernah terjadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu di mana ‘poster boy’ Umno tidak dilantik menjadi Menteri Besar selepas Barisan Nasional (BN) menang PRN tersebut.

“Umno sudah menunjukkan rancangan mereka semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu.

“Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Ismail Sabri membuktikan Umno terlalu jauh terpisah dengan kehendak dan keperluan rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas yang lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno telah diumum menjadi ‘poster boy’ BN sekali gus bakal dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU15 ini.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini dan PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Wan Saiful mendakwa pembubaran Parlimen hari ini adalah ‘turning point’ Umno untuk mengangkat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

Justeru, beliau menggesa rakyat menilai sikap Umno yang dipimpin “kluster mahkamah” dalam menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah.

“Umno juga tidak peduli nasib rakyat yang berdepan dengan risiko banjir dan bencana alam dan Umno belum berubah daripada budaya rasuah ‘ambil mana yang sempat’.

“Keutamaan Umno bukan rakyat, tetapi kuasa dan harta semata-mata,” katanya sambil menambah Perikatan Nasional (PN) satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya. -Malaysiapost

Komen