Lokman Adam diperintah fail pembelaan saman fitnah Ismail Sabri

Lokman Adam diperintah fail pembelaan saman fitnah Ismail Sabri

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam memfailkan pembelaan hari ini sebagai menjawab saman fitnah yang difailkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Peguam Joshua Tan yang mewakili Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’, berkata Ismail Sabri diberi masa sehingga 25 Oktober untuk menjawab pembelaan Lokman.

Pada awal prosiding, Lokman diberi masa sehingga hari ini untuk memfailkan pembelaannya, lapor FMT.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 25 November,” kata Penolong Kanan Pendaftar Haleez Hasnan selepas prosiding dalam talian.

Pada 12 September, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi ex parte supaya Lokman memadamkan video yang menyinggung itu dari akaun media sosialnya.

Permohonan injunksi “inter-parte” (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 November.

Ismail Sabri memfailkan saman terhadap Lokman pada 8 September lalu berhubung video bertajuk “Bila Presiden Umno panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri berkata, Lokman memuat naik video itu di akaun TikTok, Instagram, YouTube dan Facebook miliknya pada 22 Ogos, yang didakwanya sebagai fitnah, tidak benar dan berniat jahat.

Lokman, antara lain, mendakwa Ismail Sabri telah bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain yang menentang Umno untuk kekal sebagai perdana menteri dan mengenepikan kepentingan partinya sendiri, Umno.

Beliau mendakwa Ismail Sabri telah menawarkan untuk melantik Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai balasan atas sokongan Dr Mahathir.

Lokman turut mendakwa Ismail Sabri menyalahguna kuasa untuk menghentikan pendakwaan terhadap bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho.

Beliau turut mendakwa Ismail Sabri telah campur tangan bagi memastikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disabitkan kesalahan dan dipenjara.

Ismail Sabri berkata dakwaan dalam video itu menjatuhkan reputasinya di kalangan ahli Umno dan telah menyebabkannya mengalami tekanan mental dan emosi.

Beliau berkata surat tuntutan telah dihantar kepada Lokman pada 25 Ogos untuk memadamkan video itu, tetapi dia enggan berbuat demikian dan enggan memohon maaf.

Ismail Sabri menuntut ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 1 September, Lokman, 49, turut didakwa di Mahkamah Seksyen atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi menyinggung perasaan terhadap Ismail dan kerajaan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berhubung penyiaran yang didakwa dibuat melalui Facebook menggunakan nama profil “Lokman Noor Adam Official” dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Dakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) undang-undang sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan. – Malaysiapost

Komen