’12 menteri PN derhaka perintah Agong’ – Razlan

’12 menteri PN derhaka perintah Agong’ – Razlan

TINDAKAN 12 menteri mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong membuktikan niat pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang tidak lagi mahu menepati janji untuk mencapai kata sepakat dalam Mesyuarat Kabinet.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata tindakan mereka mengugut kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu juga menyebabkan kemurkaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tindakan ini secara jelas menunjukkan mereka tidak mempercayai keputusan bersama dan ini telah menyebabkan Yang di-Pertuan Agong murka sekali lagi dengan tindakan Menteri-menteri PN.

“Pertama kali, Menteri PN membelakangi Istana apabila mengambil keputusan bersendirian apabila Penamatan Proklamasi darurat sehingga mencetuskan krisis bersama Istana. Krisis ini berakhir dengan Perletakan Jawatan Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Razlan berkata, 12 Menteri PN itu sepatutnya memberi kepercayaan kepada Seri Paduka untuk membuat pertimbangan dan budi bicara Baginda dalam membuat keputusan.

“Budi bicara Tuanku melihat tidak mungkin wujud kestabilan dalam kerajaan apabila 12 menteri ini tidak lagi bersama kerajaan.

“Keterlanjuran ini telah menyebabkan Istana tiada pilihan lain selain membubarkan Parlimen dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baru.

“Justeru, tiada lain yang boleh diperbetulkan lagi selain dari pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan 12 menteri yang mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini menjejaskan keharmonian dalam Kabinet.

Ismail Sabri berkata, tindakan menteri-menteri berkenaan jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang diperkenan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan. – Malaysiapost

Komen