Anwar ratib ‘kerajaan bukan mandat rakyat’, sekarang beri 1,001 alasan

Anwar ratib ‘kerajaan bukan mandat rakyat’, sekarang beri 1,001 alasan

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan tidak stabil dan ‘ugut mengugut’ berterusan berlaku dalam politik negara kerana Umno bukan majoriti dalam kerajaan.

Beliau berkata, kemuncaknya apabila 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong mendahului dan menyanggah Perdana Menteri.

“Itu dengan sendirinya memberi isyarat jelas kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa kerajaan tidak lagi boleh berfungsi dengan baik untuk rakyat kerana tidak pernah berlaku perutusan warkah sebegitu rupa.

“Maka Agong sebagaimana kenyataan media pihak Istana kelmarin, menggunakan kuasa diperuntuk dalam Perlembagaan untuk membubarkan Parlimen bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan 12 menteri berkenaan telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pendirian gabungan itu menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Perkara itu disahkan beberapa menteri termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang menyatakan menteri daripada gabungan itu berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting perlu diberikan tumpuan ketika ini.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi mempersoal tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Umno tidak mempunyai hak menentukan pembubaran Parlimen kerana tidak mempunyai majorti dalam kerajaan.

“Pelik betul Presiden PKR. Takkanlah beliau tidak tahu bahawa kuasa membubar Parlimen adalah kuasa Tuanku Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Bukankah Anwar dan PH (Pakatan Harapan) juga selalu ratib Kerajaan pintu belakang dan bukan mandat rakyat?

“Bila diserahkan kembali mandat kepada rakyat, kenapa pula datang dengan 1001 alasan untuk tidak mahu PRU15?,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa semalam untuk memberi laluan kepada PRU15.

Ismail Sabri membuat pengumuman itu selepas menghadap dan mendapat diperkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pertemuan menghadap Baginda, kelmarin. – Malaysiapost

Komen