Bajet 2023 ‘gula-gula’ BN – Armada Johor

Bajet 2023 ‘gula-gula’ BN – Armada Johor

ARMADA Bersatu Johor menyifatkan pembentangan Bajet 2023 sekadar sandiwara politik dilakonkan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan, berkata ia dibentangkan bagi mengaburi mata rakyat dari niat utama iaitu membubarkan Parlimen.

Katanya, pembentangan Bajet 2023 hanya umpan atau ‘gula-gula’ kerana BN menyedari pembubaran Parlimen dibantah sebahagian besar rakyat, termasuk Ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri.

Sehubungan itu, Armada Bersatu Johor mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi pencerahan kepada pembentangan Bajet 2023 yang disusuli pembubaran Parlimen tiga hari kemudian.

“Pertama, apakah tujuan BN bersungguh-sungguh ‘memperdayakan’ rakyat dengan membentangkan Bajet 2023 yang tidak memberi apa-apa makna atau manfaat kepada rakyat apatah lagi negara.

“Kedua, apakah Bajet 2023 dibentangkan hanya strategi untuk ‘melunakkan hati’ dan menarik sokongan rakyat sebelum ditukar menjadi manifesto BN atau digembar-gemburkan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ketiga, bolehkah angka-angka penting melibatkan nilai geran, jumlah peruntukan, projek dan bantuan wang tunai yang dibentangkan menerusi Bajet 2023 boleh diterbitkan semula dalam apa juga bentuk bagi tujuan meraih keberkesanannya atau mempengaruhi rakyat supaya menyokong BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Shamsuddin juga yakin BN akan menggunakan Bajet 2023 sebagai modal utama kempen PRU15 kerana Perdana Menteri secara terbuka meminta rakyat memberi kemenangan kepada gabungan itu supaya Bajet 2023 dapat dilaksanakan.

“Kami melihat kenyataan Perdana Menteri itu berbaur ‘ugutan, paksaan atau tekanan’ kepada rakyat khasnya pengundi supaya menyokong dan memenangkan calon BN atau sebaliknya rakyat tidak mendapat bantuan termasuk wang tunai jika BN tewas dalam PRU15,” ujarnya.

Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa semalam untuk memberi laluan kepada PRU15. – Malaysiapost

Komen