Bubar atau tidak DUN di negeri dikuasai Pas pagi ini – Samsuri

Bubar atau tidak DUN di negeri dikuasai Pas pagi ini – Samsuri

SEBARANG keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri dikuasai PAS, akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS, pagi ini.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam kenyataan di laman Facebooknya, malam tadi.

“Apapun, sebarang keputusan pembubaran, akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS awal pagi esok,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilapor berkata PAS memutuskan tiga negeri dikuasainya iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, tidak akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Samsuri berkata, PAS telah berulang kali menegaskan mengenai ketidaksesuaian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan ketika negara bakal menghadapi suasana banjir termasuk di pantai timur.

Beliau berkata, rakyat boleh membuat berbagai-bagai andaian tentang tujuan dan kehendak pembubaran yang dipaksakan ini walaupun tinjauan awam menunjukkan lebih 2/3 rakyat tidak bersetuju untuk PRU15 diadakan pada ketika ini.

“Memaksakan pilihan raya diadakan pada saat rakyat menghadapi kesusahan ini adalah sangat tidak sesuai dan memberi indikasi bahawa parti yang mendesak hanya memikirkan diri mereka sahaja.

“Justeru, mereka yang menekan sehingga keputusan pembubaran ini dibuat merupakan liabiti pada negara dan wajar ditolak dalam PRU yang akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen