DUN Perlis dijangka bubar lusa

DUN Perlis dijangka bubar lusa

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dijangka dilakukan selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) AntiLompat Parti, Khamis ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata pembentangan berkenaan diadakan terlebih dahulu pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima DUN Perlis yang ke-14.

“Khamis ini, kita akan mengadakan sidang DUN yang bertujuan untuk membawa pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri, berkaitan ahli DUN dengan parti politik yang berkenaan, supaya bersesuaian dengan pindaan yang dilakukan oleh Perlembagaaan negara.

“Insya-Allah, saya akan mempersembah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, tarikh bersesuaian untuk dibuat pembubaran DUN supaya kita dapat mengadakan Pilihan Raya Negeri bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dokumen Tanah Hak Milik Kerajaan di Negeri Perlis di FELDA Chuping, hari ini.

Katanya, sembahan maklum mengenai pembubaran kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu akan dibuat dalam masa terdekat di mana ia dijangka akan dilakukan selepas pembentangan RUU berkenaan.

“Walaupun DUN Perlis sudah terbubar nanti, pewartaan atau pengazetan RUU Anti Lompat Parti itu boleh dilaksanakan selepas Tuanku Raja Perlis memperkenankan RUU berkenaan.

“Kita harapkan Undang-Undang Tubuh Negeri yang kita buat pindaan ini akan terpakai kepada wakil rakyat yang akan terpilih dalam PRU15 ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen