MB Pahang dijangka menghadap Pemangku Raja petang ini

MB Pahang dijangka menghadap Pemangku Raja petang ini

Ben Ibrahim

MENTERI Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah petang ini.

Sumber kerajaan negeri memaklumkan, ia bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Namun, waktu sebenar sesi menghadap itu belum dapat disahkan.

Katanya, pembubaran DUN Pahang hanya boleh dilakukan selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan serentak dengan pemilihan peringkat Parlimen.

Sementara itu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang diteruskan seperti biasa hari ini walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen petang semalam.

Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad ketika dihubungi berkata, perbahasan berkaitan Belanjawan Pahang dibentangkan Menteri Besar, Jumaat lalu berjalan seperti ditetapkan.

“Buat masa ini sidang DUN Pahang tetap berjalan seperti jadual dan perbahasan diteruskan.

“Sesi sidang DUN hanya akan dibatalkan selepas Menteri Besar menghadap Pemangku Raja Pahang untuk pembubaran DUN,” katanya ringkas. – Malaysiapost

Komen