Parlimen bubar, pembentangan bajet hanya sia-sia – Azmin

Parlimen bubar, pembentangan bajet hanya sia-sia – Azmin

PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 disifatkan sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata ini kerana mereka telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan.

Sedangkan beberapa hari selepas pembentangan bajet, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen.

Berikutan itu Mohamed Azmin berkata, perkembangan politik semasa menggambarkan Umno gagal merasai denyutan nadi rakyat dan gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan
ekonomi serta keadaan cuaca yang amat mencabar.

“Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan lebih terjamin.

“Pendirian Perikatan Nasional (PN) tuntas dan bertanggungjawab supaya tumpuan sepenuhnya diberi kepada usaha mencerdas dan memulihkan ekonomi negara.

“Ini seperti menyediakan bantuan kewangan buat peniaga kecil bagi meneruskan aktiviti perniagaan, melanjutkan moratorium untuk tempoh lebih munasabah, mengawal inflasi serta terus berusaha mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan PN yang lalu telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang menyentuh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri.

“Inilah PN yang fokus untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara. Pertumbuhan ekonomi negara pada suku tahun kedua 2022 sebanyak 8.9% dan prestasi pelaburan serta perdagangan yang amat memberangsangkan adalah hasil langsung daripada Dasar Pelaburan Baharu negara diluluskan kerajaan PN pada April 2021.

“Menyelami aspirasi rakyat, PN senantiasa komited untuk berkhidmat dan menjamin kesejahteraan anak watan.

“Tahun 2021, kerajaan PN mencipta hampir 300,000 peluang pekerjaan baharu dan sehingga suku kedua tahun 2022 telah melonjak kepada 539,000 peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Katanya lagi, dalam tempoh pentadbiran PN, seluruh warga FELDA menikmati manfaat daripada penghapusan hutang yang ditanggung bertahun-tahun oleh peneroka.

PN juga kata Mohamed Azmin, menekankan pentingnya kerajaan untuk memberi tumpuan kepada usaha bagi menghadapi kemungkinan banjir besar akibat Monsun Timur Laut bermula Oktober sehingga awal tahun hadapan.

“Ini termasuk persiapan dari segi kelengkapan aset penting, bantuan makanan dan keperluan asas, akses kepada perkhidmatan kesihatan serta bantuan pasca banjir.

“Inilah PN yang senantiasa meletakkan kepentingan dan keselamatan rakyat sebagai
agenda terpenting.

“Hakikatnya, ada parti politik yang tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi tinggi kerana peratusan rendah akan memberi lebih peluang kepada parti berkenaan untuk menang.

“Inilah wajah sebenar mengapa PRU15 diadakan dalam musim hujan lebat dan kemungkinan banjir besar,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen