PAS tak putus asa, tak tutup pintu

PAS tak putus asa, tak tutup pintu

PAS akan terus mencuba hingga saat akhir untuk mencari jalan bekerjasama dengan Umno dan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata PAS tidak pernah berputus asa dalam usahanya untuk menyatukan tiga parti itu.

“Kita tidak pernah menutup pintu dan masih mencuba. Kenyataan terakhir kita pun menuju kepada penyatuan ummah.

“Kita tidak boleh berputus asa sehingga titik terakhir,” katanya ditemui media selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Mat, berakhir kira-kira 10.50 pagi tadi.

Sebelum ini, PAS dilaporkan akan kekal menganggap Umno sebagai rakan ta’awun (kerjasama) dan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan serta perundingan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan terus konsisten dan komited dengan agenda penyatuan ummah.

Menurutnya, agenda itu menjadi paksi utama kepada perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, kaum Bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, ditanya sama ada tiga negeri diterajui PAS akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya diadakan bersekali dengan PRU15, Ahmad Samsuri berkata satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS.

“Saya tak boleh ulas. Setiausaha Agung akan beri kenyataan. Tunggu kenyataan,” katanya sambil memaklumkan sudah ada keputusannya. – Malaysiapost

Komen