PAS tersilap langkah perkukuh kembali ‘kleptokrat’

PAS tersilap langkah perkukuh kembali ‘kleptokrat’

PEMBUBARAN Parlimen semalam membuktikan PAS sejak awal lagi tersilap langkah dalam keputusan dan tindakan politiknya, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Pengarah Komunikasi Amanah itu berkata, natijah daripada keputusan PAS itu mungkin akan mengukuhkan kembali kedudukan para ‘kleptokrat’ di negara ini.

Katanya, keputusan PAS untuk bersama Umno dan pengkhianat Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen PKR menerusi ‘Langkah Sheraton’, terbukti menghidupkan semula kuasa politik Umno dan Barisan NAsional (BN).

“Perjuangan PH untuk bersama rakyat menolak politik kleptokrat telah dikhianati PAS dan Bersatu. Sekiranya budaya politik Kleptokrat kembali berkuasa, ia adalah hasil kebodohan PAS dan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin (Yassin).

“Tidak ketinggalan dalam persoalan ini adalah Datuk Seri Azmin (Ali) dan Datuk Zuraida (Kamaruddin). Mereka menghidupkan kleptokrat setelah dijatuhkan rakyat dan PH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khalid menambah, usaha PAS yang tidak pernah serik untuk terus bersama Umno terbukti kini umpama ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ apabila ditolak mentah-mentah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Setelah PAS berjaya diperalatkan UMNO/BN, maka PAS dibuang seperti peribahasa Melayu, ‘habis madu, sepah dibuang’.

“PAS pasti sedar bahawa usaha untuk bersama Umno sekarang hanya untuk menyelamatkan kedudukan PAS yang sedang selesa berkuasa dan bukan atas nama kebenaran dan keadilan.

“Jika mereka menang bersama sekalipun, mereka bakal menguatkan lagi kedudukan politik perompak dan penyamun di negara ini,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen