PN patut malu Agong tolak surat – Puad

PN patut malu Agong tolak surat – Puad

PERIKATAN Nasional (PN) sepatutnya malu apabila Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak surat mereka yang tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, dengan nada sinis berkata tiba-tiba Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi baik dan bersetuju dengan perkenaan Agong supaya Parlimen dibubarkan.

“Muhyiddin setuju perkenan Agong supaya Parlimen dibubarkan, tetapi Agong kecewa dengan politiking mereka. Sebab itu, Baginda memperkenankan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agar Parlimen bubar.

“Sebiji kena muka Muhyiddin dan PAS. Sudah tentu Agong kecewa. Muhyiddin heret 12 Menteri Bersatu dan PAS hantar memorandum. Patut PN malu bila Agong tolak surat mereka dan memperkenankan nasihat PM,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa serta-merta untuk memberi laluan kepada PRU-15.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu selepas menghadap dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan menghadap Baginda, pada Ahad.

Sebelum ini, 12 menteri PN menghantar surat kepada Agong yang tidak bersetuju PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Mohd Puad berkata, ternyata PN telah membawa precedent buruk, tiada setiakawan dan suka bermain politik.

Katanya, Muhyiddin lupa dia sebenarnya yang beri nasihat salah sehingga Parlimen digantung ketika PKP dengan dasar  tidak konsisten sekali gus memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat

“Sebab itu darurat 2.0 ditolak. Sheraton move, politiking. Gantung Parlimen, 12 Menteri hantar surat bantah PRU atas alasan banjir. Itu punca tiada kestabilan. Barisan Nasional (BN)  jalan terus,” katanya. – Malaysiapost

Komen