PRU15: PKR bertanding lebih 51 kerusi Parlimen di Semenanjung

PRU15: PKR bertanding lebih 51 kerusi Parlimen di Semenanjung

PKR  akan bertanding lebih daripada 51 kerusi Parlimen di Semenanjung bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kali ini, kata Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, lebihan kerusi itu merupakan kuota yang diberikan kepada Bersatu pada PRU sebelum ini, ketika parti itu masih bersama Pakatan Harapan (PH).

“Sewaktu PRU14, PKR bertanding 51 kerusi di Semenanjung. Jangkaan kami lebih dari itu untuk PRU kali ini. Sebanyak 52 kerusi Bersatu akan diagihkan antara PKR, DAP dan Amanah di Semenanjung.

“Bagaimanapun untuk angka sebenar, kita perlu tunggu keputusan kerana masih ada beberapa kerusi dalam perbincangan,” katanya selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP), malam tadi.

Pada PRU14, Bersatu yang ketika itu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat jumlah kerusi terbesar antara komponen PH, iaitu 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).

Fahmi berkata, pada PRU kali ini PKR bukan sahaja akan memberi fokus kerusi yang disandang tetapi juga kerusi yang telah mengkhianati mereka dan rakyat.

Dalam pada itu katanya, mesyuarat khas MPP membincangkan beberapa perkara termasuk kesiapsiagaan parti di setiap negeri, dan isu tentang strategi dan langkah yang akan diambil dalam tempoh beberapa hari akan datang. – Malaysiapost

Komen