PRU15: PN mesti menang untuk masa depan rakyat, negara – Muhyiddin

PRU15: PN mesti menang untuk masa depan rakyat, negara – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan itu perlu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menentukan masa depan rakyat dan negara yang lebih baik.

Beliau berkata, ia kerana situasi mutakhir negara tidak seperti waktu dahulu dengan politik yang tidak stabil, ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta imej negara yang semakin merosot pada mata dunia.

“Pilihan raya ini merupakan usaha kita untuk menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke lembah kerosakan yang lebih dalam.

“Percayalah ini semua akan dapat kita capai jika kita terus istiqamah dengan semangat kerjasama dan perpaduan erat serta bekerja bersungguh-sungguh sesama kita dan menggerakkan jentera pilihan raya dengan rasa penuh tanggungjawab,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau memaklumkan selesai melancarkan PN Perak kelmarin, dan turut sama ke Pahang untuk majlis yang sama, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau berbesar hati dengan persetujuan untuk bergerak atas nama jentera pilihan raya PN sahaja sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, ia merupakan isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa PN merupakan pilihan terbaik untuk menerajui Pahang selepas PRU15 nanti.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan pilihan raya ini tidak terganggu dengan kejadian banjir yang sudah mula berlaku sekarang ini atau situasi buruk yang menyebabkan rakyat tidak boleh melaksanakan tanggungjawab memilih,” katanya. – Malaysiapost

Komen