Rundingan PH-MUDA ada kemajuan – Anwar

Rundingan PH-MUDA ada kemajuan – Anwar

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan kononnya gabungan itu menolak kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Sebaliknya, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, rundingan untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih berlangsung dan ada kemajuan.

Beliau berkata, sebarang ketetapan berhubung penyertaan MUDA ke dalam gabungan itu dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Tak betul, tak betul (PH putuskan tolak penyertaan MUDA). Kita tengah runding, ada kemajuan,” katanya ringkas ketika ditemui selepas mesyuarat khas PKR di ibu pejabat parti itu, malam tadi.

Beliau berkata diminta mengulas laporan portal berita yang memetik sumber mendakwa, mesyuarat Majlis Presiden PH minggu lalu memutuskan untuk menolak permohonan MUDA menyertai gabungan itu, sebaliknya memilih untuk menjalin kerjasama pilihan raya dengan MUDA.

Pada 10 September lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengesahkan Majlis Presiden PH menerima permohonan MUDA untuk menyertai gabungan itu secara rasmi dengan permohonan itu dihantar Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketika ditanya intipati mesyuarat, beliau berkata, ia berkaitan persiapan parti itu menghadapi PRU15 berikutan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

Komen