Tun M pertahan kerusi Langkawi

Tun M pertahan kerusi Langkawi

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) bagaimanapun tidak menetapkan calon Perdana Menteri jika memenangi PRU15.

“Di Langkawi calonnya ialah Dr Mahathir tapi bukan sebagai calon bakal Perdana Menteri, calon sebagai wakil rakyat sahaja.

“Kita tidak tentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri. Calon perdana menteri relevan kalau kita menang sahaja,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir memaklumkan GTA akan bertanding atas tiket Pejuang kerana pendaftarannya belum diluluskan.

Katanya, di negeri lain kecuali Kelantan di mana parti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan menggunakan lambang sendiri manakala parti komponen lain akan menggunakan nama dan logo Pejuang.

“Kita buat keputusan hari ini, iaitu kita akan bertanding bawah nama Pejuang, dengan menggunakan simbol dan bendera Pejuang tapi Pejuang ini mengganti GTA. Semua setuju dengan GTA akan bertanding guna nama Pejuang,” katanya.

GTA ialah gabungan parti Melayu yang dianggota oleh Pejaung, Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sementara itu, beliau berkata, GTA juga memutuskan Putra akan memimpin gabungan itu di Kelantan.

Malah, hanya parti itu akan meletakkan calon mereka di negeri kubu kuat PAS itu. – Malaysiapost

Komen