Umno kalah jika pengundi tolak sogokan wang – Tun M

Umno kalah jika pengundi tolak sogokan wang – Tun M

UMNO akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya pengundi menolak sogokan wang daripada parti itu, kata Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau sekali lagi menegaskan kenyataannya sebelum ini bahawa Umno boleh menang pada PRU15 adalah kerana mereka akan sogok wang kepada pengundi.

“Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata, saya kata Umno akan menang tetapi dia tidak teruskan dengan apa yang menyusul kenyataan itu.

“Saya cuma kata Umno akan menang kerana mereka (Umno) akan sogok wang kepada pengundi.

“Jadi, kali ini kalau pengundi menolak wang daripada Umno, Umno tidak akan menang,” katanya dalam klip video yang dimuat naik menerusi Twitter @chedetofficial, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau yakin pengundi sekarang sedar keburukan Umno dan mereka tidak akan mengundi bagi pihak Umno, sekali gus parti itu akan kalah.

“Saya telah tekankan bahawa perjuangan saya bukan untuk parti tetapi untuk orang Melayu, nasib orang Melayu, masa depan orang Melayu.

“Kalau parti lari daripada dasar untuk memelihara orang Melayu saya tidak sokong. Sebab itu saya keluar Umno kerana Umno sudah menyeleweng,” katanya – Malaysiapost

Komen