Umno punca ketidakstabilan politik – Guan Eng

Umno punca ketidakstabilan politik – Guan Eng

UMNO membuktikan parti itu tidak layak mentadbir negara apabila ‘berlagak’ tidak bersalah dengan mengakui tidak mengetahui kekecewaan Yang di-Pertuan Agong terhadap pekembangan politik negara.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata demikian susulan kenyataan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang layak menjawab mengenai isu berkenaan.

“Umno jelas berlagak tidak bersalah apabila mereka sendirilah menjadi punca kepada segala ketidakstabilan politik baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, justeru baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Susulan kenyataan tersebut, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno menjelaskan hanya Perdana Menteri, layak menjawab mengenai kekecewaan Al-Sultan.

Mohamed Khaled berkata, perkara itu kemungkinan akan dijelaskan Ismail Sabri dalam tempoh beberapa hari lagi.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Umno tidak boleh diberi mandat mentadbir negara kerana parti itu dipenuhi muslihat politik termasuk tidak mengendahkan situasi musim tengkujuh untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Muslihat politik oleh pemimpin Umno (mahu) mengadakan pilihan raya umum awal demi menyelamatkan diri daripada kes rasuah walaupun Malaysia berada di tengah-tengah musim tengkujuh dan krisis ekonomi,” katanya.

Justeru, Guan Eng berkata, adalah tidak menghairankan apabilan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) bagi Malaysia turun daripada 51 kepada sekarang.

“Umno jelas mahukan pilihan raya segera sekarang untuk mengelakkan kejatuhan lagi dalam kedudukan TI-CPI 2022 yang akan dikeluarkan tahun depan.

“Pelabur kewangan asing tidak yakin dengan keputusan kerajaan Umno yang mengadakan pilihan raya umum semasa kemungkinan(negara dilanda) banjir teruk,” katanya.

Malah, Guan Eng berkata, Umno juga tidak mempunyai perancangan untuk menangani beban kewangan yang dihadapi rakyat dan sektor perniagaan ketika ini.

“Rakyat dan (sektor) perniagaan menghadapi peningkatan kos sara hidup yang dikaitkan dengan kenaikan harga, penyusutan nilai ringgit dan kenaikan kadar faedah.

“(Selain) kenaikan rendah gaji sebenar yang tidak dapat menampung inflasi dan kekurangan tenaga kerja asing yang teruk,” katanya. – Malaysiapost

Komen