Adnan Yaakob umum ‘pencen’ politik

Adnan Yaakob umum ‘pencen’ politik

Ben Ibrahim

SELEPAS lapan penggal dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob mengumumkan untuk ‘bersara’ daripada arena politik.

Pengumuman itu dibuat ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, petang semalam.

“Kita semua sedia maklum, sidang DUN Pahang akan dibubarkan sedikit masa lagi, jadi saya anggap ini adalah ucapan terakhir dalam dewan sebelum saya bersara sepenuhnya,” katanya.

Adnan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama dengannya ketika mentadbir negeri Pahang.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun, bermula 25 Mei 1999.

Adnan sentiasa mencuri tumpuan media dan sering mengundang kontroversi semasa menerajui Pahang.

Beliau pernah mengumumkan hasratnya untuk bersara pada tahun 2016, namun melihat belum ada calon sesuai untuk menggantikan tempatnya sebagai menteri besar.

“Saya sudah lama berpolitik, kalau saya bersara pun patut,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2016 di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam pada itu, Adnan menyatakan rasa syukur kerana kerajaan Pahang kini ditadbir dengan baik oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Pahang bernasib baik mendapat hamba Allah bernama Wan Rosdy, anak Lipis untuk menjadi Menteri Besar dengan pengalaman, kelayakan, beliau (Wan Rosdy) seorang yang mempunyai ‘temperament’ yang baik maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah ‘excited’ semacam sesetengah orang.

“Saya percaya, Wan Rosdy dapat mengemudi BN (Barisan Nasional) pada pilihan raya ini dan insya-Allah dapat membentuk Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Pahang media

Komen