Bertanding PRU15, Ahmad Idham serah pada pucuk pimpinan GTA

Bertanding PRU15, Ahmad Idham serah pada pucuk pimpinan GTA

PENGARAH dan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menyerahkan kepada pucuk pimpinan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan sama ada layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Idham memaklumkan, tumpuannya lebih terarah kepada tugas sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan, yang disandang sejak 9 Oktober lalu, berbanding memikirkan soal jadi calon PRU15.

Sebelum ini, pengarah terkenal itu pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Soal itu (bertanding pada PRU-15), belum diputuskan lagi. Ketua GTA negeri yang akan memutuskannya. Ini di luar bidang kuasa saya dalam menentukan diri sendiri menjadi calon PRU15. Apa yang boleh saya katakan sekarang ini adalah buat kerja dahulu.

“Apa yang penting, kita bawa nama GTA dan menampakkan bahawa ini adalah satu gerakan yang patut rakyat sokong untuk PRU-15. Ini adalah satu-satunya gerakan dari rakyat untuk rakyat,” katanya memetik Berita Harian.

Kelmarin, pelantikan Ahmad Idham sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan diumumkan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim, pada mesyuarat gerakan terbabit di Seremban.

Ditanya apakah beliau meletakkan sasaran menjadi wakil rakyat, Ahmad Idham mahu kerjanya ‘berbicara’ sebelum diangkat ke tahap itu.

“Itu bukan hak saya untuk tentukan. Saya buktikan dahulu saya buat tugas. Dari dahulu, falsafah saya, biarlah kerja berbicara. Seperti di FINAS, saya tidak banyak cakap. Anda semua hanya boleh tengok kerja saya yang berjalan.

“Tetapi kalau suatu hari saya diangkat dan boleh menjadi wakil rakyat, itu adalah disebabkan kerja saya, bukan mulut saya yang bercakap. Sekiranya pucuk pimpinan merasakan ada platform yang boleh saya bantu, saya akan lihat bentuk tawaran yang diberi,” katanya.

Ahmad Idham berkata, beliau meninggalkan Bersatu dan melepaskan jawatan sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang, Julai lalu.

Selepas itu, Ahmad Idham bergerak solo dan mengusahakan NGO miliknya.

Tambah Ahmad Idham, beliau kemudian menyertai GTA Ogos lalu berikutan sokongan yang diberi terhadap NGO yang diasaskannya itu.

“Saya tidak perlu menyertai parti politik. Sebaliknya, NGO boleh diangkat secara bebas. Jadi, GTA ini adalah gerakan rakyat dan bukan parti politik.

“Buktinya, saya selaku Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin dilantik tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik,” katanya.

Ahmad Idham berkata, melalui pelantikan sebagai Ketua Penerangan GTA, ia memberi gambaran jelas GTA bukan gabungan parti politik, sebaliknya badan menghimpunkan NGO, kumpulan profesional dan individu.

Sehubungan itu, Ahmad Idham komited untuk menyampaikan kepada rakyat bahawa GTA bukanlah gabungan retorik parti politik seperti yang digembar-gemburkan.

“Sebaliknya, GTA adalah gerakan rakyat untuk rakyat bagi mengangkat pemimpin Melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian,” katanya.

GTA adalah gabungan politik Melayu pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk bertanding di 120 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU15. – Malaysiapost

Komen