Bubar Parlimen tangani karenah ahli Kabinet tak berdisiplin – Zahid

Bubar Parlimen tangani karenah ahli Kabinet tak berdisiplin – Zahid

TINDAK-TANDUK 12 menteri Perikatan Nasional (PN) didakwa punca serta-merta mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu boleh dibincangkan dalam Kabinet tanpa perlu terus kepada Istana Negara dan dihebahkan pula kepada awam.

Justeru katanya, ternyata tindakan tersebut adalah niat jahat musuh Barisan Nasional (BN) untuk mengaibkan Perdana Menteri.

“Sudah pasti, Perdana Menteri boleh sahaja memecat 12 menteri tersebut. Namun ini akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara.

“Ia juga akan melibatkan undi tidak percaya dan sebagainya.

“Maka, jalan terbaik untuk berdepan karenah ahli Kabinet tidak berdisiplin ini ialah Perdana Menteri mengadap Agong dan mohon perkenan untuk bubarkan Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, ia juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat yang sebelum ini ramai melompat parti, selain menjawab cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membubar Parlimen, dan memastikan kestabilan politik serta pemulihan ekonomi tidak terganggu.

Menurutnya, ini kerana dalam tempoh tidak sampai lima tahun, akibat ketidakstabilan politik sudah tiga Perdana Menteri bertukar ganti.

“Semoga tragedi politik ini tidak berulang dan perlu diingati selama-lamanya oleh rakyat jelata. Sedangkan rakyat sangat mahu kerajaan stabil dan harmoni sesuai titah baginda Agong.

“Insya-Allah apabila BN mendapat mandat besar dan kembali menerajui kerajaan, perkara ini tidak akan berlaku. Hal ini kerana BN adalah pembawa kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen