Hisham Ahmad Tajudin meninggal dunia

Hisham Ahmad Tajudin meninggal dunia

PELAKON veteran, Hisham Ahmad Tajudin, 76, meninggal dunia pada jam 4.30 petang tadi, selepas dirawat di Hospital Shah Alam (HSA) akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Anaknya, Aqeela, 26, memberitahu, bapanya yang ditidurkan di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), HSA sejak akhir bulan lalu, menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga.

“Abah saya, Hisham Ahmad Tajudin kembali menemui Sang Pencipta pada waktu Asar tadi, jam 4.30 petang.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, abah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Ia kemudian merebak ke organ lain sehingga tidak berfungsi.

“Abah dikhabarkan teruk sejak malam tadi, di mana hospital hubungi saya memberitahu abah sudah tenat. Jadi, kami sekeluarga, berada di sisi Abah sejak malam tadi sehingga Asar. Abah meninggal di hadapan saya, suami saya dan ibu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Aqeela belum dapat berkongsi maklumat pengebumian bapanya kerana pihak hospital masih lagi menguruskan jenazah bapanya.

“Saya sedang menunggu pasukan forensik membuat laporan. Biar pihak hospital uruskan dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Aqeela memberitahu bapanya dimasukkan ke hospital pada 29 September lalu, selepas mengalami batuk teruk yang berpanjangan.

Allahyarham Hisham ditidurkan dan bergantung sepenuhnya pada mesin sokongan berikutan tidak boleh bernafas secara normal.

“Saya reda dengan takdir dan ketentuan Allah. Daripada abah menahan sakit lama-lama, lebih baik Allah ambil.

“Tadi senang saja abah pergi, tiada tercungap-cungap nafas. Abah pergi dengan tenang, Alhamdulillah. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk arwah abah,” katanya.

Allahyarham Hisham dikenali menerusi filem Tsu-Feh Sofiah pada 1986, Perempuan (1988), Sara (20011), Selamat Pagi Cinta (2008), Santau dan Syurga Cinta (2009).

Drama popular lakonannya adalah seperti Dalam Hati Ada Cinta (2004), Dalam Hati Ada Cinta 2 (2005) dan Tok Ayah (2014). – Malaysiapost

Kredit foto: Mstar

Komen