Kerjasama PAS-Umno semakin suram- Zuhdi

Kerjasama PAS-Umno semakin suram- Zuhdi

HARAPAN untuk melihat hubungan PAS dan Umno kembali bertaut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat semakin suram dan sukar.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata ia kerana PAS terikat dengan Bersatu yang mana parti itu telah mengisytihar Umno musuh utamanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Umno memberi syarat kepada PAS untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Situasi seperti ini menyebabkan kerjasama PAS dan Umno sukar tercapai, melainkan ada kehendak politik yang kuat ke arah kerjasama tersebut oleh kedua-dua parti,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Menurut Mohd Zuhdi, disebabkan hubungan yang tidak kondusif, kerjasama terhad antara PAS dan Umno, iaitu sekurang-kurangnya tidak bertembung di 27 kerusi juga bakal menemui kegagalan.

Katanya, jumlah kerusi yang berisiko untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) semakin bertambah dengan pertambahan pengundi baharu yang mendadak selepas kemasukan pengundi 18 tahun dan pengundi terdaftar secara automatik baru-baru ini.

“Oleh sebab itu, tanpa kerjasama PAS dan Umno, kerusi-kerusi yang berisiko ini boleh terlepas kepada PH,” katanya.

Beliau turut memetik kenyataan seorang pemimpin DAP baru-baru ini yang berkata, dengan terpecahnya pengundi Melayu kepada tiga iaitu Barisan Nasional (BN), PN dan Gerakan Tanah Air (GTA), sekiranya pengundi Cina solid menyokong PH, maka PH akan kembali menerajui Putrajaya.

“Sekiranya ini berlaku, PH dijangka boleh menawan kerusi berisiko itu, seterusnya memerintah negara seperti apa yang berlaku pada PRU14.

“Jelas sekali, kuasa politik Melayu bukan lagi penentu parti mana yang bakal memerintah Malaysia, sebalik kuasa penentu terletak kepada kuasa pengundi Cina,” katanya. – Malaysiapost

Komen