Menteri PN ikut arahan parti, sama macam PM – Hamzah

Menteri PN ikut arahan parti, sama macam PM – Hamzah

TINDAKAN 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini adalah keputusan parti gabungan berkenaan.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata tindakan itu termasuk dirinya yang menandatangani surat berkenaan dibuat selepas mendapat arahan parti yang memutuskan tidak mahu PRU-15 diadakan.

Menurutnya, ia sama keadaannya dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila bertindak membubarkan Parlimen kerana mendapat arahan daripada pucuk pimpinan Umno.

“Perdana Menteri selalu menyatakan beliau ‘party man’, saya hormati cara beliau menjawab, sebagai orang parti beliau perlu dengar arahan parti, arahan Presidennya

“Saya pun ‘party man’ kena dengar kehendak parti. Jika parti kata tak sesuai sekarang (pilihan raya), saya pun ikut sama kata tak sesuai.

“Sama juga beliau (Ismail), kalau Presiden Umno kata nak pilihan raya sekarang, beliau perlu akur,” katanya pada sidang media selepas taklimat Op Banjir di Bukit Aman, hari ini.

Hamzah juga berkata, tindakan menghantar surat itu adalah perkara normal dan Ismail Sabri turut mengakuinya ketika ditanya oleh media mengenainya, namun berubah kenyataan selepas Parlimen dibubarkan dengan menyalahkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 12 Menteri PN sebagai punca Parlimen terpaksa dibubarkan.

“Selepas Parlimen dibubarkan pendirian Perdana Menteri berubah dan menyatakan tindakan itu tidak normal. Saya faham keadaan ini boleh berlaku sebab kita dah bincang dalam Kabinet ada kalanya kita terpaksa memikirkan tanggungjawab kepada parti yang diwakili.

“Kami (Menteri PN) tiada pilihan, sama juga dengan Perdana Menteri tiada pilihan lain kena dengar malah perlu bertindak mengikut arahan partinya,” katanya.

Hamzah bagaimanapun mendakwa hubungan antara Menteri-Menteri PN dengan Perdana Menteri masih baik termasuk masih lagi membincangkan perkara-perkara yang perlu dalam Mesyuarat Kabinet pada Jumaat lalu.

“Saya rasa kami semua rakan dan cukup matang untuk memahami kedudukan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

Komen