Paras air Sungai Klang, Sungai Langat lepasi tahap bahaya

Paras air Sungai Klang, Sungai Langat lepasi tahap bahaya

PARAS air Sungai Klang di Stesen Bandar Klang dan Sungai Langat di Stesen RS Batu 8, Kuala Langat, melepasi paras bahaya setakat jam 7.45 pagi ini.

Menurut laman sesawang InfoBanjir, bacaan paras air di Stesen Bandar Klang adalah 3.28 meter (bahaya) berbanding bacaan normal 2.2 m.

“Bagi Stesen RS Batu 8 Kuala Langat pula, bacaan air pada paras 2.35 m (bahaya) berbanding bacaan normal pada 0.1 m.

“Sementara itu, tiga stesen setakat ini berada pada status amaran iaitu Jeti Teluk Penyamun (Kuala Selangor), Pekan Beranang (Hulu Langat) dan Kampung Rantau Panjang (Klang).

“Bagi Stesen Kampung Salak Tinggi (Sepang), Stesen Kampung Melayu Subang (Petaling) dan Batu 9 (Hulu Langat) masing-masing mencatatkan bacaan di paras berjaga-jaga,” kata laporan itu.

Sementara itu, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) menerusi Facebook memaklumkan terowong Lebuhraya SMART di ibu negara sudah mula dibuka semula kepada pengguna.

Syarikat itu memaklumkan penutupan terowong sepanjang 9.7 kilometer itu sekitar jam 8 pagi bagi melencongkan air banjir susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang, pagi ini.

Ia susulan paras air di beberapa sungai di sekitar ibu negara sudah melepasi tahap bahaya, amaran dan berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa jam lalu.- Malaysiapost

Komen