Pembubaran tiga negeri bawah PAS dimuktamad esok 

Pembubaran tiga negeri bawah PAS dimuktamad esok 

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan dijangka diketahui selepas mesyuarat PAS Pusat, esok. 

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perkara itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

“Hasil mesyuarat jawatankuasa harian PAS pada pagi Selasa di Kuala Lumpur akan dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat PAS Pusat di Pejabat Agung PAS esok. 

“Jadi, keputusan sama ada DUN dibubar atau tidak akan diberitahu esok kerana tiada lagi mesyuarat selepas ini. Apa-apa keputusan kita akan tahu esok,” katanya memetik Sinar Harian. 

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini mesyuarat bagi menetapkan calon-calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum diputuskan. 

“Setakat ini belum ada lagi senarai calon. Biasanya kita akan sediakan senarai calon dengan mengetengahkan tiga nama dan segala keputusan akan diputuskan di peringkat pusat. 

“Saya sendiri tidak tahu sama ada disenaraikan atau sebaliknya. Saya hanya serah segalanya kepada parti untuk diputuskan,” jelasnya 

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang itu berkata, Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini. 

Tegas beliau, DUN Terengganu tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen. – Malaysiapost

Komen