PH pertimbang bubar DUN Pulau Pinang serentak dengan PRU15 – Loke

PH pertimbang bubar DUN Pulau Pinang serentak dengan PRU15 – Loke

CADANGAN untuk membubarkan kerajaan Pulau Pinang dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, cadangan itu dibawa DAP Pulau Pinang yang meminta PH mengkaji semula keputusan sebelum ini untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak.

Oleh itu katanya, segala keputusan akan dibuat selepas mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Ada banyak alasan, salah satu sebab kuat adalah rakyat Pulau Pinang lebih cenderung untuk PRU15 diadakan secara serentak, rata-rata mengatakan mereka tak mahu keluar dua kali.

“Faktor ini kita perlu ambil kira sebab PRU15 bukan berkenaan parti politik tapi pengundi, mereka yang buat keputusan bukan parti politik… kita menawarkan tapi akhirnya mereka buat keputusan.

“Suara rakyat sudah kita tentu kena bagi pertimbangan dan ada reaksi kuat dari Pulau Pinang. Jadi, kita perlu mendengar pandangan dan bincang semula,” lapor Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, soal pembubaran DUN Pulau Pinang tidak boleh disamakan dengan DUN Selangor dan Negeri Sembilan yang turut ditadbir oleh PH.

“Setiap negeri keadaannya berlainan. Macam Negeri Sembilan, saya juga tak mahu bubar serentak, ada keadaan berbeza. Kita hanya akan bincang dan muktamad esok selepas perbincangan dibuat,” katanya.

Dalam soal calon, Loke memaklumkan bahawa DAP akan mengumumkan calon lebih awal, iaitu sekurang-kurangnya sebelum penamaan calon. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Anthony Loke Siew Fook

Komen