PH setuju kerjasama dengan MUDA hadapi PRU-15

PH setuju kerjasama dengan MUDA hadapi PRU-15

PAKATAN Harapan (PH) bersetuju mengadakan kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Menurutnya, permohonan MUDA untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diproses, kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU-15 dijangka tidak lama lagi.

“Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama, dan begitu juga berbincang seterusnya, kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo… dan kita tiada halangan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, petang tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di bawah pentadbiran PH, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, Anwar berkata, tempoh masa telah diberikan untuk pimpinan negeri memperhalusi perkara itu.

“Kami masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden PH. Tetapi perkara itu perlu dibincangkan semula secara terperinci bersama pucuk pimpinan parti masing-masing,” katanya.

Anwar berkata, pimpinan pusat akan memberikan tempoh yang secukupnya kepada pimpinan negeri untuk melihat keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri, serentak dengan PRU-15.

“Dalam hal-hal besar, sama ada pimpinan parti berbincang dulu, dan bawa ke Majlis Presiden, atau Majlis Presiden beri kerangka dasar utama, garis besar untuk dibawa kepimpinan parti masing-masing.

“Sebab ini melibatkan PKR dan DAP di Pulau Pinang, jadi akan bincang. setakat ni masih terikat dengan keputusan lalu,” katanya. – Malaysiapost

Komen