PRU-15 tak diadakan ketika Deepavali – Saravanan

PRU-15 tak diadakan ketika Deepavali – Saravanan

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak akan diadakan ketika sambutan perayaan Deepavali pada 24 Oktober ini, kata Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Menurutnya, isu berhubung perkara itu hanya dimainkan pembangkang bagi menimbulkan perasaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat India di negara ini.

“Apabila pengumuman Parlimen dibubarkan, mereka (pembangkang) mainkan sentimen masyarakat India dengan mengatakan kita akan adakan PRU-15 ketika musim perayaan Deepavali.

“Pada 20 Oktober ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat. Jadi, mungkin seminggu atau dua minggu selepas Deepavali baru PRU-15 akan diadakan.

“Jadi isu Deepavali dan PRU-15 tidak perlu dibangkitkan langsung,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja (PPKP), di Kuala Lumpur, hari ini.

Saravanan berkata, beliau hanya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan untuk memberi cuti gantian kepada guru India di sekolah Tamil bersempena Deepavali.

“Saya meminta Perdana Menteri supaya mengambil kira rayuan daripada guru masyarakat India yang memohon supaya diberi cuti peristiwa atau cuti gantian tambahan sebanyak satu hari,” katanya. – Malaysiapost

Komen