Pukul adik ipar dengan kayu, pemandu lori didenda RM3,000 

Pukul adik ipar dengan kayu, pemandu lori didenda RM3,000 

PADAH memukul sehingga cedera adik iparnya menggunakan sebatang kayu, seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. 

Majistret Nabiha Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap M Jagan, 37, yang membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah, lapor Malaysia Gazette. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan ‘soft tissue injury’ terhadap MR Livesh, 29, menggunakan sebatang kayu di Plaza Mahkota 11 dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 3.30 petang 31 Mei lalu. 

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu. 

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu hukuman ringan kerana sudah menyesal atas kesalahan pertama dilakukan anak guamnya itu. 

Tertuduh juga katanya, telah berbaik-baik dengan pengadu dalam kes terbabit selain hanya bekerja sebagai pemandu lori berpendapatan purata RM1,500 sebulan dan perlu menyara isteri termasuk tiga anak yang masih kecil. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – Malaysiapost

Komen