Selepas kalah bola, Sanusi takut DUN terima nasib sama 

Selepas kalah bola, Sanusi takut DUN terima nasib sama 

SEORANG pemimpin Umno hari ini menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pendirian negeri itu untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi secara sinis mengaitkan pendirian kerajaan Kedah pimpinan Muhammad Sanusi dengan kekalahan skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super malam tadi. 

Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim di Johor itu, JDT menewaskan Kedah 4-1 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim 2022. 

“Kenapa DUN Kedah tidak bubar. Patutlah tidak bubar. Rupanya Kedah kalah 4-1 di tangan JDT. Sanusi takut DUN Kedah pun kalah,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Muhammad Sanusi sebelum ini berkata Kedah kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN sebelum Mac tahun hadapan meskipun Parlimen telah dibubarkan. 

Beliau memaklumkan ketetapan itu adalah keputusan yang telah diputuskan PAS sebelum ini. 

Namun katanya, sebarang perubahan akan diputuskan parti di peringkat Pusat. 

Sebelum ini Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sering ‘mengusik’ JDT dan beberapa kali bertelagah dengan pemilik kelab dari Selatan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial. – Malaysiapost

Komen