Sultan Perak belum perkenan bubar DUN – Saarani

Sultan Perak belum perkenan bubar DUN – Saarani

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum memberi sebarang perkenan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras pembubaran Parlimen ke-14.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata sebarang ketetapan berkaitan bubar DUN akan dimaklumkan Sultan Perak kelak.

“Belum dapat perkenan (Sultan Nazrin) lagi untuk DUN dibubarkan.

“Setelah Tuanku berkenan untuk buat keputusan, maka Tuanku akan menitahkan saya menghadap (sekali lagi),” katanya memetik Berita Harian.

Saarani berkata, Sultan Nazrin bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan dikemukakan dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya.

“Oleh demikian sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN akan diumumkan selepas Tuanku (Sultan Nazrin) berkenan membuat keputusan,” katanya.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan meninggalkan pekarangan Istana Kinta, kira-kira jam 3.30 petang tadi selepas menghadap Sultan Nazrin bagi memohon pembubaran DUN Perak.

Sementara itu, beliau berkata pentadbiran serta program yang direncanakan oleh kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

Katanya tiada keperluan mendesak untuk diadakan sidang khas tergempar DUN bagi membahas berkaitan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan lompat parti di peringkat DUN.

“Tiada keperluan mendesak sebab ia masih boleh dibentangkan dalam sidang dewan selepas PRU-15,” katanya.

Perak adalah yang terawal mendapat ‘janji temu’ untuk menghadap Sultan bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN susulan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika pentadbiran DUN negeri-negeri lain masih bertaraf status quo.

Setakat ini, hanya DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Perak, Pahang, dan Perlis dilaporkan akan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya bersekali dengan pemilihan di peringkat Parlimen.

DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak yang baharu melalui pilihan raya negeri tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan tidak akan membubarkan DUN di negeri bawah pentadbirannya iaitu Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan manakala PAS akan membuat keputusan dalam masa terdekat bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Malaysiapost

Komen