Tuduhan menteri PN punca bubar Parlimen fitnah – Muhammad Faiz 

Tuduhan menteri PN punca bubar Parlimen fitnah – Muhammad Faiz 

TUDUHAN terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri dari gabungan itu bahawa mereka punca Parlimen dibubarkan Isnin lalu, adalah fitnah. 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), wajar Muhyiddin membuat teguran terhadap kepimpinan Perdana Menteri sebelum ekonomi negara menjadi lebih parah lagi.  

Katanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menyatakan bahawa tidak timbul isu keabsahan kerajaan apabila menteri dari PN mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang tidak bersetuju pembubaran Parlimen ketika musim cuaca buruk sekarang ini. 

“Tetapi ia dibalas pula dengan membubarkan Parlimen, bukan terus memperbaiki ekonomi rakyat.  

“Itulah contoh Perdana Menteri paling singkat dan paling lemah dalam sejarah Malaysia kerana rela dicucuk hidungnya oleh seorang orang kena tuduh (OKT) yang mempunyai 47 kes melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang  haram satu yayasan kebajikan,” katanya hari ini. 

Ismail Sabri dilaporkan berkata keputusan pembubaran Parlimen dibuat berikutan 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Justeru, Perdana Menteri menegaskan, pembubaran itu bertujuan menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran Kerajaan. 

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, sekiranya Ismail Sabri mempunyai maruah, beliau sewajarnya bertanggungjawab terhadap cadangan untuk membubarkan Parlimen kerana itu kuasa Perdana Menteri tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. 

“Lebih bermaruah lagi jika beliau (Ismail Sabri) merasakan tidak lagi mendapatkan sokongan majoriti Ahli Parlimen, maka beliau seharusnya mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, bukan berlagak majoriti mohon pembubaran Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

Komen