Umno tolak PAS ‘berita baik’ buat PN – Muhyiddin

Umno tolak PAS ‘berita baik’ buat PN – Muhyiddin

KEPUTUSAN Umno tidak meneruskan kerjasama dengan PAS disifatkan berita baik bagi Perikatan Nasional (PN) yang akan menjadikan gabungan itu lebih kukuh.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata di pihak PN kerjasama dengan PAS kekal baik dan kukuh, sejajar kedudukan parti itu sebagai antara pengasas gabungan berkenaan bersama Bersatu dan parti lain.

“Itu keputusan mereka (Umno), tapi bagi PN hubungan dengan PAS tetap baik kerana mereka (PAS) adalah antara parti pengasas PN.

“Jadi, jelas sekarang mengenai ketidakpastian hubungan mereka (PAS) dengan Umno, tetapi saya fikir ia membuka laluan kepada PN untuk lebih kuat dan efektif untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada pilihan raya ini.

“Bagi saya itu berita baik,” katanya lapor Berita Harian malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Umno tidak bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengemukakan tiga tuntutan kepada PAS sebelum kembali menjalin kerjasama politik – PAS keluar PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi parti itu “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Semalam pula, media melaporkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan hubungan Umno dengan PAS gagal kerana parti itu tidak dapat memenuhi tiga tuntutan diberikan Zahid.

Sehubungan itu, katanya, Umno bersedia bertembung dengan PAS di 27 kerusi Parlimen kritikal, pada PRU15. – Malaysiapost

Komen