Wanita BN kenal pasti calon berpotensi menang PRU-15

Wanita BN kenal pasti calon berpotensi menang PRU-15

WANITA Barisan Nasional (BN) telah mengenalpasti calon-calon wanita yang berkebolehan dan berpotensi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata senarai tersebut telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.

“Wanita BN mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi BN yang telah menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan calon wanita dalam PRU-15 yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Terima kasih di atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menerajui kepimpinan politik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata, menjadi harapannya selaku pengerusi untuk melihat calon-calon yang dikemukakan itu diterima baik oleh kepimpinan BN sekaligus memenangi pilihan raya bagi mewakili golongan wanita dan seluruh rakyat Malaysia.

“Dengan kepercayaan yang diberikan ini, Wanita BN yakin, mampu memberikan sumbangan kepada parti dan meletakkan iltizam yang tinggi untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju meletakkan 30 peratus calon wanita dalam PRU-15.

Menurut Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, takrifan calon wanita tersebut termasuk calon Wanita Umno, calon Puteri, calon wanita parti komponen dan calon wanita yang berjawatan dalam bahagian.

Katanya, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, sebanyak 25 peratus adalah wanita seperti kategori yang dinyatakan.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kesetiaan, kemampuan dan peranan besar yang dilaksanakan oleh wanita sebagai tulang belakang parti selama ini,” kata Ahmad. – Malaysiapost

Komen