Amirudin tak minta Sultan Selangor bubar DUN

Amirudin tak minta Sultan Selangor bubar DUN

MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari tidak membuat permintaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada tahun ini ketika menghadap baginda, kelmarin.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Munir, terdapat kenyataan yang kurang tepat mengenai keputusan kerajaan negeri untuk tidak membubarkan DUN seperti dilaporkan di akhbar dan media sosial.

“Adalah dimaklumkan setelah membaca kenyataan-kenyataan di akhbar dan juga media sosial berhubung dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk tidak membubarkan DUN Selangor bagi mengadakan pilihan raya pada tahun ini, didapati terdapat beberapa kenyataan yang kurang tepat.

“Sebenarnya pada 11 Oktober 2022 yang lalu Menteri Besar Selangor tidak membuat permintaan kepada Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor pada tahun ini dan berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor mengambil maklum akan kedudukan perkara itu dan mengharapkan agenda pembangunan Negeri Selangor yang telah dirancang dapat diteruskan demi kepentingan rakyat. – Malaysiapost

Komen