Apakan daya, itu pilihan Pas – Khairuddin

Apakan daya, itu pilihan Pas – Khairuddin

HASRAT untuk melihat Pas dan Umno bekerjasama dalam satu pasukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak tercapai susulan Pas menoktahkan untuk terus bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berpendapat keputusan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat akar umbi yang mahu melihat kedua-dua parti terbesar Melayu-Islam itu sebagai satu pasukan pada masa hadapan.

“Apakan daya. Itulah pilihan Pas. Namun, kita tidak berputus asa. Ia harapan ahli bawahan. Muafakat Nasional (MN) boleh diteruskan melangkaui kerjasama politik pilihan raya.

“Ia menjadi platform untuk ahli politik dalam dua parti Islam terbesar negara berpolitik secara matang, kekal bersaudara, bersaing secara sihat di arena politik dan saling mengukuhkan satu sama lain dalam perkara melibatkan kepentingan Islam dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, hari ini sepakat untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk hadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah.

“Memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN. Senarai calon daripada Negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama.

“Mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah,” kata Abdul Hadi. – Malaysiapost

Komen